لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيـمٍ
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik penciptaan ….”
At-Tin 95:4
Terlalu banyak catatan dari kalam suci AlQuranulkarim yang menyentuh tentang penciptaan manusia, daripada zahirnya yang dapat dilihat hinggakan kepada yang terlalu kecil untuk dilihat bak istilah ‘dzarrah’ yang disebut beberapa kali dalam AlQuran. Tanpa kita sedari, Allah SWT sedang mengajar kita Anatomi & Fisologi agar kita dapat melihat betapa agungnya kerajaan langit berbanding dengan segala kerajaan yang ada dimuka bumi ini. Juga agar kita, manusia sentiasa tunduk penuh tawadhu’, mentauhidkan diri kepada Maha Pencipta alam dan segala isinya semuga segala amalan yang kita lakukan mendapat keredhaanNya.
Diantara ilmu yang agak terpinggir disisi para perawat dan terapis Perubatan Tradisonal dan Komplementari adalah Ilmu berkenaan struktur dan fungsi sistem tubuh yang dikenali dengan Anatomi & Fisiologi.
Bagaimanakah ilmu ini dapat membantu kefahaman kita sebagai perawat dan terapis? Jawapan pada soalan ini tentu sekali sangat jelas kerana sasaran perawatan yang kita lakukan adalah khususnya berkisar kepada tubuh manusia, mengembalikan keadaan tubuh yang sakit kepada kesembuhan agar menjana kepada kehidupan yang berterusan.
Tentu sekali dengan memahami pelbagai sistem tubuh akan dapat memperkasakan keupayaan kita untuk lebih peka dan prihatin dalam memahami fungsi tubuh dan punca penyakit yang sering menyerang tubuh agar kita dapat melakarkan apa jua kaedah perawatan dengan sebaik mungkin.

Secara dasarnya, terdapat 12 cabang pada Anatomi & Fisiologi tubuh seperti berikut:-
1. Sel dan Tisu
Bahagian ini merupakan asas pengetahuan bagi segala bentuk kehidupan yang membentuk sistem tubuh. Memahami struktur dan fungsi pelbagai sel dan tisu dalam tubuh akan meningkatkan keupayaan untuk menghargai tubuh yang dianugerahkan Allah SWT kepada kita dengan menjaga keperluan dan keterbatasan dalam mengenderai tubuh yang dipinjamkan kepada kita dengan sebaik mungkin.

2. Sistem Peredaran Darah / Kardiovaskular
Tentu sekali semua sudah mafhum akan gejala serangan penyakit angin ahmar dan serangan jantung dikalangan masyarakat kita. Dengan memahami sistem tubuh ini, kita akan berupaya untuk memahami mekanisma kerja jantung dan peredaran darah yang menjadi nadi utama kesinambungan kehidupan. Kita juga akan dapat memahami bagaimana gaya hidup yang tidak teratur akan menyebabakan gangguan pada sistem peredaran darah sehingga meningkatkan risiko untuk diserang dengan panyakit yang berkaitan dengan kegagalan jantung untuk berfungsi secara optimum. Juga dengan memahami segala perkara yang bersangkut-paut dengan darah akan membantu para pengamal bekam khususnya untuk sedikit sebanyak berupaya untuk melihat darah bekam itu dari perspektif yang ilmiah berbanding membuat telahan atau andaian yang tidak mempunyai asas atau dalil secara klinikal.

3. Sistem Integumentari
Bagi pengamal modaliti bekam khususnya, mengetahui struktur kulit dan mekanisma kerja sel dan tisu yang membentuk kulit akan dapat meningkatkan lagi kefahaman terhadap amalan bekam itu sendiri. Digandingkan dengan kefahaman pada sistem peredaan darah dan sistem imuniti, sistem integumentari ini akan melengkapkan kefahaman terhadap mekanisma kerja amalan bekam itu sendiri dalam memilih pelbagai titik bekam secara ilmiah dan tidak hanya dengan “taqlid buta” atau meniru gambar rajah atau poster titik bekam secara buta dan melulu.

4. Sistem Pencernaan / Digestif
Sistem yang menjadi tunggak utama dalam memahami pelbagai jenis penyakit yang terkait pada pemakanan. Sistem yang padat dengan pelbagai organ dalaman yang membentuk jalur pencernaan daripada saat masuknya sesuatu makanan dan minuman kedalam tubuh, penyerapan nutrisi dan zat yang diperlukan oleh tubuh hinggalah kepada pembuangan sisa yang tidak diperlukan oleh tubuh. Memahami sistem ini akan dapat membantu para perawat dalam mendiagnosa penyakit yang berkisar pada bahagian perut (abdomen) dengan lebih tepat dan bersandar dengan dalil ilmiah.

5. Sistem Urinari / Kemihan
Pernahkah kita terfikir bagaimana air yang diminum dapat berpindah dari sistem laluan pencernaan dan sampai ke ginjal untuk ditapis sehingga sisa yang tidak diperlukan tubuh akan keluar sebagai air kencing? Itulah yang disebut sistem uninari atau kumbahan yang juga disebut sistem ekskretori. Dengan mempelajari sistem ini, kita akan dapat memahami mekanisma kerja organ yang amat penting iaitu ginjal dan juga organ-organ yang bertanggung jawab dalam memastikan segala bahan-bahan toksin dapat dikeluarkan dari tubuh melalui pundi kencing, ureter dan saluran kumbahan atau disebut ‘urinary tract’ dalam bahasa sains.

6. Sistem Otot dan Sendi
Sekiranya sistem peredaran darah dan integumentari amat terkait dengan modaliti bekam, sistem otot dan sendi pula mempunyai kaitan langsung dengan modaliti urut-mengurut. Pengetahuan tentang sistem otot dan sendi akan dapat membantu perawat urut untuk mengaitkan punca kesakitan samada bersumber dari otot, sendi dan rawan. Sistem otot ini juga terkait rapat dengan sistem Kerangka atau Skeletal dimana otot , sendi dan rawan kesemuanya adalah terkait pada tulang belulang didalam tubuh.

7. Sistem Kerangka / Skeletal
Para perawat modaliti urut, manipulasi tulang belakang, kiropraktik dan sebagainya perlulah mempunyai pengetahuan yang mantap terhadap sistem kerangka ini dimana dibincangkan pelbagai jenis tulang pada tubuh. Dengan memahami intipati sistem kerangka ini, perawat urut akan lebih peka dan berupaya untuk menilai setiap rasa kesakitan pada bahagian tertentu tubuh dengan kaitannya pada kerangka mahupun otot, tendon dan rawan.

8. Sistem Limfatik
Mungkin ramai dikalangan perawat tradisonal dan komplimentari yang tidak sedar bahawa terdapat 2 jenis sistem rangkaian atau jaringan cecair pada tubuh. Selain sistem peredaran darah yang membincangkan rangkaian darah keseluruh tubuh, terdapat satu lagi peredaran cecair tubuh yang disebut cecair limfa atau ‘getah bening’ yang disebut sistem limfatik. Sistem ini adalah sebahagian dari sistem imuniti yang merangkumi jaringan sel, tisu dan organ yang bertanggung jawab dalam pengumbahan bahan-bahan toksin dan sisa-sisa metabolisma yang membentuk rangkaian pembuluh cecair limfa yang padat dengan sel darah putih sebagai agen pemusnah keseluruh tubuh. Pengetahuan dalam sistem tubuh ini pastinya dapat meningkatkan kefahaman akan ciri-ciri sistem imuniti tubuh yang sememangnya perlu diwarisi oleh setiap perawat perubatan.

9. Sistem Endokrin
Tentu sekali kita pernah dengar perkataan ‘hormon’, namun apakah sebenarnya hormon itu dan bagaimana ianya dihasilkan dan untuk tujuan apakah ianya amat diperlukan oleh tubuh. Sistem Endokrin membincangkan rangkaian kelenjar yang merembiskan pelbagai hormon yang mengawal metabolisma tubuh, pertumbuhan dan pembangunan sistem tubuh termasuk hormon yang mengawal fungsi-fungsi perilaku tubuh seperti tidur dan perubahan ‘mood’ ceria dan muram atau kemurungan serta perlakuan seksual. Dengan mempunyai sedikit kefahaman dalam sistem ini dapat membantu para perawat untuk memahami pelbagai perilaku pasien yang dizahirkan ketika membuat sesi perawatan.

10. Sistem Pernafasan / Respiratori
Sistem yang merangkumi mekanisma kerja organ paru-paru dan bagaimana berlakunya pertukaran gas oksigen dan karbon dioksida pada tubuh manusia. pelbagai penyakit yang terkait dengan sistem pernafasan akan dapat difahami dengan lebih dalam lagi dengan adanya pengetahuan pada sistem ini. Apakah yang didengari oleh para doktor ketika menggunakan alat stetoskop dan sedikit sebanyak huraian tentang bunyi-bunyi pernafasan yang boleh membantu diagnosa sekitar kesihatan pernafasan melalui bunyi-bunyian tersebut.

11. Sistem Saraf dan Sensori
Otak sebagai pusat kawalan seluruh tubuh tentunya mempunyai jaringan isyarat yang menjadi jalur kominikasi diantara bahagian-bahagian tubuh dengan bahagian kawalan utama yang terletak pada organ otak. Ssitem yang padat dengan rangkaian saraf ke setiap ceruk tubuh akan dapat memberi pemahaman bagaimana isyarat sakit dapat diterima dan disampaikan oleh jaringan saraf serta peranan sistem tunjang pada spinal yang menjadi tulang belakang dalam segenap fungsi tubuh.

12. Sistem Reproduksi
Akhir sekali, sistem yang membincangkan fungsi dan struktur organ kelamin antara jantina dan bagaimana kesinambungan keturunan terhasil dengan proses pesenyawaan dan perkembangan benih didalam kandungan. Tidak disangkal lagi betapa pentingnya untuk para perawat mengetahui ciri-ciri pada sistem reproduksi terumatamnya dalam menangani kondisi pada bahagian tertentu tubuh yang terkait dengan perkara berkaitan kelahiran, fungsi organ kelamin dan penyakit yang terkait padanya.

Demikianlah sedikit pengenalan pada sistem-sistem tubuh yang kesemuanya terkait antara satu dengan yang lain dalam memastikan tubuh berfungsi dengan sebaiknya dalam menjana kesihatan dan kesejahteraan pada kehidupan.
Perlu diingatkan bahawa proses mempelajari Anatomi dan Fisologi bukan lah melalui jalan pintas dengan menghadiri kursus untuk sekadar beberapa hari dengan tujuan untuk menguasai kesemua 12 sistem tubuh. Namun itu merupakan langkah pertama yang perlu diambil dalam melakarkan pendakian ilmu tersebut.
Semuga perawat diluar sana mengambil peduli pada peri pentingnya ilmu ini dan sentiasa berusaha untuk melengkapkan pendakian ilmu yang akan dapat membantu dalam amalan modaliti perawatan masing-masing.
PERAWAT YANG MERAWAT DENGAN PENUH KEJAHILAN DAN KETIDAKPASTIAN AKAN BERKEMUNGKINAN MELAKUKAN KEZALIMAN PADA PESAKIT YANG DIRAWATINYA.
RENUNGKANLAH …
UNTUK MAKLUMAT LANJUT BERKENAAN KULIAH ONLINE BKAF SILA KLIK DISINI
UNTUK MENGAMBIL UJIAN KEMASUKAN KLIK DISINI